Rabu, Disember 21, 2011

Kampungku Yang Indah Permai

Salam,

Jumaat lepas iaitu pada 16 Disember 2011, aku balik kampung lagi, ingin melihat keindahan kampung yang telah lama kutinggalkan. Masih seperti dulu, masih segar pemandangan, kehijauan masih terpelihara. Udaranya tetap bersih. Bezanya sekolah di kampungku sudah bertukar wajah daripada bangunan setingkat kepada bangunan empat tingkat, tak tahulah seramai mana murid yang belajar di bangunan empat tingkat itu.Sawah padi juga sudah bertukar wajah. Kalau dulunya anak-anak muda yang balik dari bandar tak mahu ke sawah kerana takut terkena selut lumpur, tapi kini tidak lagi. Sesiapa sahaja yang balik kampung pasti akan menjengah sawah yang tak berapa luas tu kerana sudah ada jalan yang bertar dan berbatu kerikil halus, sungguh cantik, sungguh mempersonakan ditambah lagi dengan pemandangan yang menghijau, sesuai dijadikan tempat penggambaran.Aliran air dari tali air, gerakan ikan yang terlekat pada pukat begitu mempersonakan mata memandang. Indah sekali...itu yang boleh aku katakan.
Terima kasih kampungku...kerana kau tetap seperti dulu...mendamaikan...

Sabtu, Januari 08, 2011

Banjir Lagi

Salam,

Entry aku pada 9 Disember 2008 adalah juga berkaitan banjir di Sungai Pinang. Disebabkan pembinaan jambatan yang terbengkalai, jalan tersebut telah ditenggelami air dan mengakibat ratusan penduduk yang tinggal di sebelah Air Putih terputus hubungan untuk ke Bandar Chukai.


Tahun ni masih lagi kejadian yang sama, tempat lain masik lagi ok, maksudnya masih boleh dilalui kenderaan, tetapi laluan di Sungai Pinang telah pun ditengelami air dan ditutup kepada kenderaan ringan.

Aku pun tak tahu sama ada adun Air Putih tau atau tidak keadaan ini. Aku juga tak tahu sama ada adun Air Putih pernah melalui jalan ini. Yang aku tahu, adun Air Putih selalu berulang alik ke KL.

Kepada MB Mat Said, buatlah sesuatu. Mana perginya slogan "rakyat didahulukan". Utamakanlah kebajikan rakyat, bukan untuk seorang tetapi untuk ribuan rakyat di dun Air Putih.

Rabu, Januari 05, 2011

Zahirul Dan Tahun 1

Salam,

Tanggal 3 Jan 2011 merupakan tarikh yang ditunggu-tunggu oleh ibu bapa dan juga kanak--kanak yang akan menjejakkan kaki mereka ke alam persekolahan. Tanggal ini juga amat dinantikan oleh aku sekeluarga kerana anak aku Zahirul Afiq akan menjengah ke alam baru dunia persekolahannya.
Pada pagi 3 Jan 2011, Zahirul bangun pada pukul 6.45 pagi, tak sabar nak ke sekolah katanya. Pada pukul 7.30 pagi mamanya membawa Zahirul ke sekolah. Sekolah tak sampai 2 km dari rumah aku.

Waktu rehat mama balik menjemput aku dan Zuhayra ke sekolah Zahirul untuk melihat keadaannya pada masa rehat. Biasalah budak darjah 1, masih banyak yang perlu diajar, cara membeli di kantin, bagaimana nak ke tandas dan sebagainya.

Sebagai bekas guru, aku merasakan banyak kelemahan yang terdapat di sekolah Zahirul sama ada dari segi struktur bangunan dan juga pentadbiran sekolah. Yang paling aku tak suka ialah murid-murid darjah 1 diletakan di tingkat 3 bangunan sekolah. Terkejut beruk aku pada mulanya. Hari pertama pun aku dah nampak murid darjah 1 tergelincir tangga semasa nak masuk kelas kerana keadaan yang licin akibat hujan renyai-renyai. Mereka bukannya tahu bahaya, asyik berlari jer bila nak ke mana-mana. Manakala tandas pula di tingkat bawah. Aku rasa ada murid darjah 1 yang terkencing dalam seluar. Minta-minta perkara yang sebegini tak berlaku pada Zahirul.

Keadaan kantin sekolah pula agak dhaif, dahlah kerusi dan meja tak berapa banyak, kipas pula langsung tak ada.

Mungkinkah aku terbawa-bawa dengan situasi tempat aku mengajar dulu. Sekolah tempat aku mengajar dulu sekolah swasta, cikgu boleh dikatakan memberikan 100% komitmennya sebagai guru. Keselamatan murid paling diutamakan. Tingkat bawah hanya untuk murid darjah 1 dan 2 sahaja. Pandangan, nasihat serta komen-komen daripada ibu bapa sangat-sangat dialukan. Kantin sekolah agak selesa, penuh dengan kerusi dan meja serta kipas.

Semoga pengalaman ini akan menjadi satu pengajaran buat kita semua...

Selasa, Disember 28, 2010

Siapa Kata makanan Di Kelantan Murah...?

Salam,

Jumaat lepas berkesempatan balik ke kampung yang terletak dalam jajahan Pasir Puteh Kelantan. Cuti Krismas yang jatuh pada hari Sabtu telah dibawa ke depan iaitu ke hari Ahad. Maka dapatlan berlama-lama sedikit di kampung.

Kesempatan berada di kampung tidak aku lepaskan untuk ke kebun ayah yang terletak di kampung Gong Siro yang terletak lebih kurang satu kilometer dari rumah ayah. Jalan ke kampung Gong Siro agak lecah(becak) sikit dek kerana hujan yang turun tak berhenti-henti dan ditambah lagi dengan kenderaan(lori) yang lalu lalang untuk menyiapkan projek tali air Kemasin Semerak. Kereta tak dapat masuk, maka aku terpaksa menggunakan motor untuk ke kebun ayah. Dua buah motor digunakan untuk aku, isteri dan dua orang anak untuk sampai ke kebun tersebut.Sampai jer, sasaran pertama aku ialah nyiur muda. Nyiur muda yang dapat dipetik tanpa memanjat pokoknya itu aku ambil satu tandan. Setelah diteguk airnya habis sebiji, hilang rasa penat mengawal motor dalam keadaan jalan berlopak-lopak tadi. Isteri dan anak-anak tak ketinggalan merasa kesegaran air nyiur muda. Anak aku yang perempuan sangat suka nyiur muda, dua biji dihabiskannya.

Lepas semua dah reda sikit, barulah ke kandang kambing, melihat anak-anak kambing yang sedang membesar. Ada tujuh ekor semuanya anak-anak kambing ayah, cantik-cantik belaka. Seronok sungguh berada di kebun ayah. Rasa seperti tak nak balik ke rumah.

Keesokan paginya pergi ke bandar Pasir Puteh, makan pagi bersama kawan-kawan lama. Lama dah tak kena nasi dagang Kelantan. Pagi tu pekena nasi dagang Kelantan, sedap. Patut pun, sebelum masuk ke restoran tu, aku lihat orang beratur panjang bungkus nasi dagang.

Antara makanan yang kita orang pesan pagi tu ialah tiga pinggan nasi dagang, segelas kopi, segelas teh tarik, segelas teh o, segelas teh o ais dan sebiji karipap. Nak tahu berapa harganya? Kalau biasa mungkin dalam RM10 jer, tapi tak tahu kenapa pagi tu harganya RM22. Terkejut juga aku, bukan kerana nilai RM22 tu tapi harga yang tak sepadan tu yang buat aku terkejut. Kalau beginilah, mahal juga harga makanan di Kelantan ni, bisik hati kecil ku. Tapi kenapa semua orang kata makanan di Kelantan murah...? Mungkin tuan punya kedai tu salah kira barangkali. Apa pun terima jerlah. RM22 bukan satu nilai yang besar sekarang.

Apakah ini kesan daripada kenaikan harga minyak....? Atau adakah ia dikira berdasarkan orang yang makan makanan tersebut...? Semuanya menjadi tanda tanya...

Ahad, November 07, 2010

Rumah Termahal Di Dunia

BAYANGKAN dengan jumlah wang AS$1 bilion (RM3.1 bilion) pasti terlalu banyak perkara yang boleh dilakukan dengan wang sebanyak itu. Jumlah tersebut mungkin menyamai pendapatan tahunan negara-negara miskin seperti Somalia dan Tibet.

Malah wang sebanyak itu menyamai separuh dari jumlah kekayaan yang dimiliki oleh orang Melayu terkaya di negara ini Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari yang mencecah hampir AS$2 bilion (RM6.2 bilion).

Namun bagi bilionair India yang juga manusia keempat terkaya dunia Mukesh Ambani, wang sebanyak itu dikatakan diguna hanya untuk membina sebuah rumah untuk kediamannya sekeluarga.
Rumah setinggi 27 tingkat lengkap dengan pelbagai kecanggihan dan teknologi terkini mungkin dilihat agak melampau. Namun dengan kekayaan berjumlah AS$29 bilion (RM90 bilion) jumlah tersebut hanya sekelumit untuk dibelanjakan.

Apatah lagi dengan jangkaan Forbes bahawa Mukesh akan menewaskan Bill Gates pada 2014 sebagai manusia terkaya dunia pastinya rumah ini akan dijadikan penanda aras kekayaan yang akan beliau perolehi dalam tempoh mendatang.

Bercerita tentang rumah beliau, memang tidak tercapai dek akal tentang segala kemudahan yang ada. Rumah berkenaan yang diberi nama Antilia bakal didiami oleh keluarga Mukesh yang terdiri dari isterinya Nita Ambani bersama tiga anak mereka Akash, Anant dan Isha hujung bulan ini.

Keluarga ini dijangka berpindah selepas majlis pembukaan rumah mereka diadakan pada 28 November depan yang dijangka dihadiri seramai 200 orang jemputan rapat. Rumah tersebut yang terletak di Jalan Altamount, di tengah-tengah bandar Mumbai dikatakan mempunyai keluasan 48,780 kaki persegi dengan ketinggian 173 meter.

Nama rumah tersebut dipilih mengikut nama sebuah pulau mistik di Atlantik dan ia direka bentuk oleh syarikat arkitek yang beribu pejabat di Chicago Perkins & Will.

Bermula dari bawah terdapat enam aras bawah tanah yang disediakan hanya sebagai tempat meletak pelbagai jenis kereta yang dimiliki selain untuk tetamu. Di bahagian paling atas pula terdapat landasan helikopter yang boleh memuatkan tiga buah pesawat itu pada satu-satu masa.

Terdapat sembilan buah lif di dalam rumah tersebut dan bagi ahli keluarga, lif berbeza disediakan. Selain itu sebuah dewan besar, bilik teater yang boleh memuatkan 50 orang dan sebuah yang bertaraf lima bintang disediakan. Manakala di bahagian luar pula kamera keselamatan disediakan disetiap penjuru dengan disertai pasukan keselamatan yang lengkap bersenjata. Di bahagian atas pula sistem kawalan trafik udara peribadi disediakan untuk pemantauan.

Malah dikatakan salah sebuah tingkat di rumah itu mempunyai sistem yang membolehkan empat musim ditukar mengikut selera. Lebih menarik lagi dijangkakan seramai 600 pekerja akan ditempatkan di bangunan ini bagi memastikan segalanya berjalan lancar.

Memang melampau cara yang ditunjukkan oleh Mukesh bagi menunjukkan kekayaannya. Namun baginya, Mukesh tidak peduli apa orang lain kata.

Bagi penulis buku Mahabharata in Polyester, The Making of the World Richest Brothers and Their Feud, Hamish McDonald, Mukesh dilaporkan pernah berkata , “Saya seorang yang kaya, saya peduli apa dengan apa yang anda fikirkan,”.

Malah terdapat versi yang menyatakan tujuan utama beliau membina rumah tersebut adalah bagi menunjuk-nunjuk kekayaan dan kejayaan beliau terhadap adiknya Anil Ambani yang juga manusia ke 34 terkaya di dunia.

Nasib malang yang menimpa Anil pada tahun 2008 akibat kehilangan AS$33 bilion (RM102 bilion) ketika dunia dilanda krisis ekonomi ketika itu telah menjarakkan kekayaan dua adik beradik ini.

Namun bagi penduduk di sekitar kawasan itu mereka melihat apa yang dilakukan oleh Mukesh sebagai keterlaluan dan mereka bimbang dengan pencemaran bunyi yang akan berlaku berpunca dari helikopter miliknya.

Bagi seorang penduduk miskin tidak jauh dari rumahnya, Sushala Pawar yang memperoleh pendapatan AS$90 (RM279) sebulan, cara yang ditunjukkan Mukesh agak melampau namun ia juga sebagai pembangkit semangat untuk orang mencapai status sepertinya.

Namun dengan jumlah penduduk seramai 20 juta dan 62 peratus darinya hidup di bawah paras kemiskinan, apa yang dilakukan oleh Mukesh ini pasti dicemburui oleh mereka yang terpaksa merempat dan tinggal di kawasan setinggan yang terlalu hodoh untuk digambarkan.

Apatah lagi Mukesh mungkin tidak perlu menjejakkan kaki ke tanah rumahnya sesuatu yang dilihat sebagai terlalu bongkak dan sombong bagi jutaan orang yang terpaksa menyelongkar tong sampah hanya untuk meneruskan hidup mereka.

Artikel ini dipetik dari Utusan Malaysia pada 7/11/2010.